Peserta yang hadir di Seminar Nafkah Keluarga: Antara Abai dan Andai pada hari ini bersetuju menerima enam (6) resolusi berdasarkan hasil perbincangan seminar:
- Kita sepakati untuk membudayakan bahawa nafkah ini satu tanggungjawab keibubapaan yang dikongsi bersama dan pendedahan mengenai nafkah diberikan seawal mungkin dalam kehidupan.
- Kita sepakati bahawa peningkatan pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang dalam hak pemberian nafkah serta makluman mengenai Garis Panduan Skala Pentaksiran Nafkah Anak perlu disebarkan secara meluas kepada pasangan yang akan dan sudah berkahwin melalui pelbagai kaedah yang berkesan. Antaranya melalui kursus pra-perkahwinan dan kursus yang diadakan khusus berkaitan rumah tangga dan perkahwinan.
- Kita menyokong cadangan agar pernyataan bayaran nafkah termasuk nilainya dimasukkan semasa akad nikah serta penubuhan skuad nafkah untuk memberi penerangan tentang isu ini.
- Kita mengalu-alukan inisiatif kerjasama antara agensi kerajaan dengan NGO dan badan-badan sukarela yang lain untuk meningkatkan usaha-usaha dan meningkatkan kesedaran tentang pendekatan penyelesaian isu nafkah yang boleh dibuat melalui potongan gaji dan boleh membawa sehingga pengengkar boleh dipenjarakan.
- Kita sepakati bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Bahagian Sokongan Keluarga di bawah JKSM dalam menyediakan khidmat kaunseling, khidmat nasihat dan runding cara kepada keluarga harus disokong dan diteruskan.
- Kita bersetuju agar keluarga menetapkan matlamat kewangan dan menyediakan perancangan kewangan berdasarkan kemampuan dan bersih dari riba serta menyediakan Deklarasi Harta Sepencarian.