KENYATAAN MEDIA
Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)
15 February 2017 bersamaan 18 Jamadil-Awwal 1438
PINDAAN AKTA MEMPERBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 @ AKTA 164
1. Pihak ACCIN bersama dengan PPMM telah meneliti cadangan kerajaan untuk meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Perceraian ) 1976 atau dikenali juga sebagai Akta 164, yang secara ringkasnya mempunyai 3 implikasi:
a) Muallaf berhak untuk membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang sivil.
b) Agama anak muallaf kekal sepertimana agama asalnya dan hanya boleh ditukar jika mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
c) Pindaan yang dicadangkan itu mempunyai kesan terkebelakang atau restrospektif.
2. ACCIN menyokong pindaan Akta 164 yang memberi hak pasangan yang memeluk agama Islam untuk membubarkan perkahwinan. Selama ini, seksyen 51 Akta 164 hanya memberi hak kepada pasangan yang tidak memeluk Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah, sementara pihak yang memeluk Islam tidak ada hak berbuat demikian.
Ini adalah undang-undang yang berat sebelah dan menzalimi pasangan yang memeluk Islam. Ini kerana, jika perceraian dirujuk kepada mahkamah syariah sekalipun, mahkamah syariah tersebut tidak ada kuasa ke atas bukan Islam.
3. Walau bagaimanapun ACCIN membantah apabila dimasukkan soal agama anak di dalam pindaan tersebut yang memerlukan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa. ACCIN menganggap :-
a. Bercanggah dengan Agama Islam, sepertimana yang telah dibincangkan dan dipersetujui sebulat suara oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-undang syariah/sivil JAKIM, dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang syarak/sivil kali ke-19 pada 27-29 April 2009, mana-mana anak muallaf adalah beragama Islam.
b. Bercanggah dengan Fasal 12(4) yang menyatakan “……..agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”
c. Tidak menghormati perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan di mana penganutnya (ie muallaf) bebas untuk mengamalkan islam mengikut ajaran Islam. Pindaan ini akan menyekat kebebasan tersebut
4. ACCIN juga menganggap ia adalah langkah ke belakang di mana merujuk kepada Ordinan Undang-undang Pentadbiran Agama Islam ( Selangor ) 1952 yang menyebut jika salah satu pasangan bukan Islam memeluk Islam, anak-anak mereka secara automatik beragama Islam. Setelah dipinda pada tahun 2003, ia memerlukan persetujuan salah seorang ibu bapa dan ia perlulah didaftarkan. Kini ummat Islam mundur ke belakang lagi dengan keperluan kedua ibu bapa untuk bersetuju terlebih dahulu.
Ia membawa maksud bahawa pindaan ini akan memberi kesan kepada kes-kes berlalu yang telah diputuskan walaupun pindaan hanya akan berlaku setelah kelulusan parlimen dan diwartakan. Terdapat pelbagai kes yang telah diputusan mahkamah dan kesan pindaan ini hanya akan memperlekehkan keputusan yang telah dibuat. Adalah amat pelik pendekatan sebegini diambil kerana ia akan menjadikan sesuatu perkara yang sah menjadi tidak sah.
5. ACCIN mencadangkan kepada pihak Kerajaan agar semua undang-undang berkaitan isu ini dipinda dengan mengambil kira hukum-hakam Islam dalam soal kekeluargaan atau dipanggil ( Ahwal Syakhsiah ) dalam istilah fiqh, kerana agama Islam cukup lengkap dan meliputi segala permasalahan sesuai juga dengan Islam sebagai agama negara menurut Perlembagaan Persekutuan.
ACCIN juga menggesa suatu badan atau tribunal yang bebas dari mahkamah sivil atau mahkamah syariah diwujudkan bagi menangani isu kekeluargaan muallaf ini secara mediasi. Melalui mediasi kes-kes tidak akan disensasikan dan persetujuan secara menang-menang dapat diperolehi bersama. Trend dunia juga sekarang tidak lagi mementingkan perbicaraan secara litigasi dalam kes kekeluargaan tetapi diselesaikan secara mediasi. Moga isu-isu kekeluargaan sebegini dapat diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah dan tidak menimbulkan ketegangan agama di kalangan rakyat Malaysia.
SHAHRIN AWALUDIN
Pengerusi ACCIN