Laporan Tinjauan OIC Pertama Mengenai Islamophobia (Mei 2007 – Mac 2008)
Ringkasan Eksekutif
Satu daripada isu utama dihadapi dunia perhubungan antarabangsa kini ialah Islamophobia. Ia telah bermula sejak zaman permulaan Islam lagi. Namun sejak akhir-akhir ini fenomena ini telah melahirkan kebimbangan kepada dunia Islam. Menfitnah, sikap tidak bertoleransi dan pandangan negatif terhadap Islam dan umat Islam semakin berleluasa ekoran pihak Barat menganggap umat Islam menyokong kepada keganasan dan bersikap melampau. Peristiwa yang amat menyedihkan lebih-lebih lagi berlaku apabila simbol Islam iaitu Nabi Muhammad SAW dicemari dan dihina hingga menyinggung perasaan umat Islam yang akhirnya turut menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.
Ekoran daripada inilah, semua pemerintah negara dan kerajaan semasa Sidang Kemuncak ke-3 di Mekah pada Disember 2005 meluluskan Program Tindakan 10 Tahun OIC, antara lain meluluskan penubuhan Badan Tinjauan di Sekretariat Agung OIC untuk menangani Islamophobia dengan memantau semua bentuk Islamophobia dan mengadakan dialog tersusun bagi menyatakan nilai-nilai Islam yang sebenar. Laporan Tinjauan OIC Pertama telah disediakan meliputi tempoh Mei 2007 hingga Mac 2008.
Laporan Tinjauan OIC Pertama ini dibentangkan dalam empat bahagian utama: (i) Definisi, latar belakang sejarah dan punca, (ii) Manifestasi terkini Islamophobia termasuk insiden Islamophobia dan kenyataan politik yang menghina Islam oleh beberapa ahli politik Barat serta perkembangan positif yang diperhatikan, (iii) Aktiviti & usaha Badan Tinjauan dan Sekretariat Serantau serta Antarabangsa untuk menangani isu Islamophobia, (iv) Kesimpulan dan cadangan.
Metodologi dalam menyusun laporan ini termasuk pemadanan laporan dan kajian oleh pertubuhan-pertubuhan penyelidikan yang berwibawa dan para pemikir, hasil persidangan antarabangsa, dokumen dan resolusi PBB, memantau laporan yang boleh diperolehi mengenai insiden Islamophobia.
Laporan ini juga turut memfokuskan kepada beberapa perkara, antaranya:
- Keperihatinan OIC terhadap tindakan keras yang dilakukan terhadap umat Islam yang tinggal dalam komuniti Barat dan gejala menfitnah Islam di seluruh dunia.
- Kesimpulan berdasarkan kenyataan kumpulan-kumpulan Islam dan anti perkauman, bahan-bahan yang diterbitkan oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan badan-badan pemantauan, hasil penyelidikan, laporan media dan sebagainya.
- Aspek undang-undang berkaitan Islamophobia yang menyatakan bahawa fenomena Islamophobia sebenarnya bertentangan dengan kehendak instrumen antarabangsa yang memastikan perlindungan daripada menfitnah agama, penghapusan diskriminasi serta sikap tidak bertoleransi terhadap umat Islam.
- Hak kebebasan bersuara boleh dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan ia tidak boleh menjadi lesen untuk menyakiti, menghina, memprovokasi, mengapi-apikan kebencian antara agama dengan menfitnah, mengecam dan menghina simbol suci agama Islam serta menyebabkan kekacauan dan keganasan dalam masyarakat.
Dalam menyusun laporan ini, Badan Tinjauan turut mengambil kira kerumitan isu Islamophobia dan cara bagaimana ia dilihat oleh protagonist. Turut diambil kira dalam mendefinisi Islamophobia ialah Pelapor Khas PBB yang menjelaskan Islamophobia ialah “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian terhadap orang Islam atau majoriti daripada mereka”. Badan Tinjauan juga menggunakan laporan dan daripada kaji selidik, kajian dan laporan insitusi antarabangsa yang terkenal, antaranya: August 2006 USA Today/Gallup poll; the Washington based Human Rights First, 2007 Report on Islamophobia; the Pew Research Center Report bertarikh 25 September 2007, the The European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC) dan The European Commission against Racism and Intolerance (ECRI)‘s latest 2007 “Third Report on the Netherlands” bertarikh 12 February 2008. Laporan ini dengan jelas menyebut peningkatan dramatik Islamophobia di Belanda dan umat Islam di Belanda menjadi subjek stereotaip, stigma dan adakalanya secara terang digambarkan dalam wacana politik perkauman dan media secara tidak seimbang.
Laporan juga mendapati fenomena Islamophobia akan berterusan menjadi perhatian masyarakat antarabangsa pada masa hadapan. Adalah dipercayai kemarahan dan bantahan dunia Islam lebih mendalam khasnya melalui penerbitan kartun yang menfitnah Nabi Muhammad SAW dan ucapan tidak bertanggungjawab Pope Benedict di Universiti di Jerman. Manakala, media mempunyai peranan penting dalam menyentuh isu Islamophobia untuk mengupayakan budaya toleransi dan persefahaman bersama dan bahawa kebebasan berekspresi seharusnya dikaitkan dengan tanggungjawab tertentu.
Laporan ini menyimpulkan bahawa kini terdapat kesedaran dalam masyarakat antarabangsa termasuk kerajaan, NGO dan masyarakat madani di mana mereka mula mengambil perhatian yang serius terhadap kebimbangan umat Islam menghadapi bahaya menfitnah Islam serta kesediaan mereka untuk melibatkan diri dalam dialog-dialog antara agama. Justeru, laporan berpendapat bahawa semua Negara Anggota OIC boleh meneruskan usaha mereka untuk memerangi Islamophobia dari pelbagai peringkat.