PUTRAJAYA: Percakaran menyentuh pelbagai isu yang sering timbul antara pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai ‘demokrasi sihat’.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pendirian itu selari perubahan semasa yang menyaksikan barisan kepemimpinan muda ketika ini cakna dengan isu semasa susulan ledakan teknologi dalam dunia tanpa sempadan.
“Adik-beradik pun mesti bergaduh, justeru perkara biasa dan sihat dalam parti jika berlaku pertengkaran ketika membincangkan sebarang isu semasa.
“Kalau semua nak disuruh ikut (kata dan telunjuk), naam… naam ya habibi (ya… ya kesayanganku), mana boleh kerana parti perlu ada percanggahan dan kebebasan menyuarakan pendapat.
“Kita ada kerajaan dan pendekatan baharu mengendalikan urusan negara yang lebih sihat,” katanya pada temu bual eksklusif dengan NSTP, kelmarin.
Sehubungan itu, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kecenderungan anak muda membincangkan pelbagai perkara, termasuk berkaitan hal ehwal dan dasar kerajaan tidak wajar disisihkan serta dianggap cubaan menggugat kedudukan kelompok pemimpin ‘otai’.
Beliau sebaliknya mahu pemimpin belia diberikan kebebasan mengupas dasar dan percaturan kerajaan secara ilmiah, sekali gus menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.
“Pemikiran anak muda perlu bebas tatkala bercakap mengenai perkara yang mereka tidak suka kerana kita harus bertindak sebagai sebuah keluarga apabila membuat keputusan.
“Masa nak berbincang, gaduhlah dan usah dilarang pembangunan pemikiran sedemikian sehingga mereka ditegur dan disisihkan secara tidak sihat.
“Jangan cakap, aku tahu lebih banyak daripada kau kepada anak muda kerana pendekatan itu tidak relevan dalam dunia tanpa sempadan yang dikelilingi penggunaan gajet dan kecerdikan menerusi alam maya,” katanya. – Berita Harian