Allied Coordinating Committee of Islamic NGO Malaysia (ACCIN) berasa kesal dengan tindakan SUHAKAM yang nyata tidak mengambil kira sensitiviti dan budaya umat Islam, apabila ia memperjuangkan isu Nukman Afifi, yang merupakan presiden Pelangi, sebuah badan advokasi LGBT, yang pernah menganjurkan Iftar Gay, agar dikekalkan sebagai pegawai khas Kementerian Belia dan Sukan.
LGBT, seperti yang ditegaskan oleh Menteri Agama, YB Mujahid Yusof Rawa adalah bercanggah dengan agama, nilai moral kemanusiaan dan fitrah dan salah dari sisi undang-undang. Perundangan negara dan negeri jelas bukan hanya mengharamkan LGBT bahkan menghukum pengamal LGBT.
Justeru itu, individu yang memperjuangkan nilai LGBT, tidak sewajarnya berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan, kerana berpotensi mempengaruhi golongan muda, melainkan beliau bertaubat dan insaf. Tindakan masyarakat membantah perkara ini, bukan bermaksud diskriminasi, namun menjaga kepentingan belia dari terpengaruh dengan nilai songsang.
SUHAKAM dalam hal ini juga telah melanggar akta mereka sendiri dimana Seksyen 4(4) Akta Suhakam menegaskan bahawa penegakan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) boleh dibuat selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tn Hj Ir Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin
Pengerusi ACCIN
16hb Julai 2018