KENYATAAN MEDIA
Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)
1 Oktober 2016 bersamaan 29 Zulhijjah 1437
Memperkasa Mahkamah Syariah Melalui RUU 355
Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) sebagai sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia memandang berat polemik yang terus berlaku berkaitan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
ACCIN berpandangan pindaan tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan kedudukan Mahkamah Syariah adalah sangat wajar dan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak bahkan wajar disokong oleh semua pihak. Pertikaian yang berlaku mungkin berpunca pada kaedah dan cara RUU tersebut diusulkan di Dewan Rakyat dan kandungan yang masih belum jelas sepenuhnya.
ACCIN ingin mencadangkan supaya semua pihak berlapang dada dan berbincang untuk mencari jalan terbaik mempastikan RUU 355 tersebut bukan hanya diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi memberi impak positif kepada pembinaan masyarakat Malaysia. Pelaksanaan undang-undang mestilah berdasarkan prinsip keadilan serta dilihat berlaku adil (justice is not only done but seen to be done).
Sehubungan dengan itu, ACCIN berharap beberapa aspek berikut dapat diberi perhatian yang sewajarnya dalam cadangan pindaan perluasan bidangkuasa jenayah mahkamah syariah yang diusulkan:
- Perlantikan hakim-hakim yang mencukupi dan terlatih
- Menaik taraf kedudukan dan kapasiti kakitangan Mahkamah Syariah
- Pindaan kepada Undang-undang Keterangan dan Tatacara Jenayah yang berkaitan
- Mempertingkatkan kefahaman tentang perundangan Islam dan Maqasid Syariah di kalangan semua lapisan masyarakat melalui pelbagai media dan saluran.
ACCIN berdoa semoga usaha yang baik ini dipermudahkan Allah swt. sekaligus menyatukan umat Islam di Malaysia dan membuka ruang dialog yang harmoni dengan masyarakat bukan Islam.