Perikatan Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) mengucapkan tahniah di atas kemenangan besar Pakatan Harapan dalam PRU 14 yang telah berlangsung pada 9 hb Mei 2018 dan seterusnya pembentukan kerajaan Persekutuan dan 7 kerajaan negeri. YAB Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh, pada umur 92 tahun, satu rekod dunia! Semoga Allah swt mempermudahkan urusan beliau untuk mentadbir peralihan kuasa yang mencabar ini.
2.0 Tahniah juga kepada semua parti dan institusi yang terlibat yang berjaya memperlihatkan peralihan kuasa yang aman dan penuh tertib setelah Barisan Nasional memerintah berterusan selama 61 tahun. Peralihan ini, memperlihatkan kepada dunia bahawa, Malaysia adalah di antara negara di mana demokrasi dan institusi-institusi negara masih berfungsi dengan baik dan professional.
3.0 Rakyat mengundi bukan hanya untuk parti atau kerajaan yang baru, tetapi untuk satu sinar baru politik anah air. Mereka inginkan satu budaya politik yang matang, demokratik, amanah dalam kerangka Perlembagaan negara dan undang-undang negara.
ACCIN menyeru agar Perlembagaan negara di hormati oleh semua pihak, khususnya berhubung kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejarahnya dan penduduknya bertunjang kepada Islam. Malah Kesultanan Islam Kedah merupakan yang tertua di dunia yang masih berkuasa, iaitu pada tahun 1136 Masihi.
ACCIN menolak fahaman yang berselindung di sebalik topeng “liberalism dan pluralism” serta menyekat unsur yang mengugat keharmonian seperti gejala murtad dan menyebaran agama lain kepada penganut Islam.
Kami menuntut agar pemimpin politik terus memastikan supaya konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dipastikan terpelihara dengan sebaiknya. Ketiga cabang ini adalah struktur asas demokrasi berperlembagaan negara. Perkara ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penumpuan kuasa mutlak di tangan individu seperti Perdana Menteri yang boleh menjurus kepada salah guna kuasa dan korupsi yang berleluasa.
Keluhuran Perlembagaan dan “rule of law” adalah syarat yang diperlukan untuk keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat seluruhnya perlu menerima dan menjunjung Perlembagaan dan Undang-undang negara. Pemimpin politik perlulah mementingkan keutamaan negara berbanding keutamaan kumpulan atau bangsa.
Media yang bebas untuk menyuarakan kepentingkan rakyat dan negara secara bertanggung jawab wajib ada sebagai kuasa keempat untuk menjadi “check and balance” kepada pemerintahan dan pentadbiran negara
Sudah tiba masanya untuk rakyat yang merupakan “silent majority“ diberi peranan yang penting untuk menentukan halatuju pentadbiran negara dan bukan hanya dijemput mengundi setiap lima tahun. Demokrasi perlulah dibudayakan di kalangan masyarakat. Pemerintahan negara tidak boleh dilepaskan kepada ahli politik semuanya. Ini mengundang bahaya kerana “power corrupts, and absolute power corrupts absolutely”
ACCIN juga menyeru supaya pemberian jawatan-jawatan penting negara dan negeri di beri kepada mereka yang mahir dan berpengalaman dalam bidangnya. Jawatan penting bukanlah tempat untuk latihan sambil kerja atau imbuhan kepada sokongan. Berlaku sebelum ini di mana politikus berlatarbelakang undang-undang memikul jawatan yang memerlukan kepakaran yang lebih husus saperti Menteri Pertanian atau Menteri Kerjaraya. Akhirnya, tidak ada “wow factor “ dalam hasil mereka.
Sama-samalah kita melihat ke hadapan, kepada satu era baru dalam sejarah pentadbiran negara yang bertuah ini, supaya semua warga mendapat tempat yang sebaiknya untuk maju kehadapan. ACCIN bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan untuk memelihara muhibbah, harmoni dan persefahaman dalam negara, demi kesejahteraan dan kemajuan.
Pengerusi ACCIN
Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin
15hb Mei 2018