Dataran Sunway digemparkan dengan tragedi menyayat hati pada malam ambang tahun baru , 31hb December 2024, apabila empat orang penonton konsert Pinkfish dilaporkan meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah. Seorang ialah ibu kepada dua anak kecil. Dua lagi masih dalam ICU. Insiden ini tidak hanya merosakkan suasana sambutan tetapi juga menimbulkan persoalan serius tentang keselamatan dan tanggungjawab penganjur acara.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa mangsa yang terlibat menunjukkan tanda-tanda overdosis dadah, yang dipercayai diperoleh secara haram di lokasi tersebut. Siasatan awal polis mendapati empat pengunjung konsert yang meninggal dunia disyaki terbabit dalam pengambilan pil dadah jenis ecstasy. Kejadian ini sekali lagi membuktikan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu isu yang merosakkan, tidak hanya bagi individu tetapi juga masyarakat keseluruhan.
Selain itu, penganjur konsert turut menjadi perhatian utama. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka sekiranya didapati lalai dalam memastikan kawalan keselamatan dan pencegahan penyeludupan bahan terlarang ke dalam acara tersebut. Kejadian ini mencerminkan keperluan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, termasuk pemeriksaan ketat dan pemantauan rapi oleh pihak keselamatan di lokasi acara.
Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) perlu mengambil tanggung jawab insiden yang tragis ini. Insiden seumpama ini pernah berlaku di tahun 2014 dimana enam individu mati sewaktu konsert ‘Future Music Festival Asia’. Belum kah peristiwa itu menjadi pengajaran?
Insiden tragis ini harus menjadi pengajaran kepada semua pihak, termasuk penganjur acara, pihak berkuasa, dan masyarakat amnya, tentang pentingnya menentang penyalahgunaan dadah serta memastikan keselamatan setiap individu yang menghadiri acara awam.
Kejadian ini adalah peringatan penting kepada masyarakat bahawa keseronokan melampau tanpa batasan boleh membawa kepada tragedi. Budaya berpesta perlu dibendung dan digantikan dengan aktiviti yang lebih membina dan memberi manfaat kepada kesejahteraan mental dan fizikal.
Jangan ada pula suara-suara sumbang yang akan terpekik terlolong bahawa menghalang budaya hedonisme seumpama ini adalah menyekat hak asasi kemanusiaan dan ‘talibanisation’ dan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Budaya seperti ini yang tidak bermoral, bersuka-suka berlebihan, seks rambang, mengambil arak dan dadah bukan sahaja dilarang dalam agama Islam tetapi oleh semua agama dan fahaman utama.
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita juga perlu bersama-sama memupuk nilai-nilai murni dan memperkukuhkan aspek moral serta akhlak dalam kalangan generasi muda. Pendidikan dan kesedaran harus diberi keutamaan agar insiden sebegini tidak akan berulang.
Kejadian ini adalah peringatan bahawa semua pihak – penganjur, pihak berkuasa, dan masyarakat – mesti bekerjasama untuk membendung budaya negatif ini. Dengan langkah-langkah pencegahan yang komprehensif, kita dapat memastikan keselamatan setiap individu dan memelihara nilai moral masyarakat.
Mohd Jamaludin Shamsudin
CEO ACCIN
Kuala Lumpur