Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, agama Islam tidak akan berkembang jika para pendakwah asyik mewujudkan kerenggangan dan jurang sesama manusia.
“Orang lain, terutamanya yang bukan Islam tidak akan tertarik kepada keindahan Islam jika para pendakwah sendiri keliru di antara perjuangan, memurnikan akidah dan terperangkap dalam sentimen asabiah.
“Kepetahan bercakap sahaja tidak akan menjadikan dakwah kita berkesan jika akhlak kita tidak menunjukkan teladan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Harmoni 2018 Anjuran Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) di pekarangan Restoran Mohd. Chan Abdullah, Taman Melawati di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi GDM Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO (ACCIN), Mohd. Jamaludin Mohamed Shamsudin.
Hampir 5,000 tetamu terdiri saudara-saudara baru termasuk Orang Asli dari Desa Temuan Bukit Lagong Selayang hadir meraikan majlis ini.
Wan Azizah juga berkongsi pengalamannya ketika melanjutkan pengajian di bidang perubatan pada awal 1970an dahulu di negara Ireland, apabila beliau dicap “Biarawati Cina” kerana memakai tudung.
“Tidak dinafikan tugas sebagai pendakwah adalah satu tugas yang berat tetapi yang penting sentiasa meneliti diri sendiri ketika mengajak orang lain kepada Islam.
“Jangan lupa pada kelebihan diri dan sentiasalah memperbaiki diri sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE