GOMBAK: Global Peace Mission (GPM) Malaysia merancang untuk membina sekurang-kurangnya 100 khemah sementara untuk pelarian etnik Rohingya di wilayah Cox’s Bazar, Bangladesh, terletak kira-kira dua jam dari sempadan Bangladesh-Myanmar.
Agensi kemanusiaan di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu juga akan menghantar bantuan makanan berjumlah RM50,000 kepada pelarian Rohingya melalui misi kemanusiaan yang akan digerakkan dalam tempoh terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata program kemanusiaan itu ialah misi susulan selepas mereka menggerakkan misi awal membantu pelarian Rohingya yang terkesan dengan pembantaian di wilayah utara Rakhine sejak dua minggu lalu.
Katanya, makanan dan tempat perlindungan ialah dua isu penting dihadapi oleh ribuan pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.
“Kebanyakan pelarian Rohingya yang baru tiba di Bangladesh tiada tempat tinggal.
“Banyak yang duduk di tepi jalan, tepi lereng bukit, bawah pokok dan merata-rata tempat kerana kem pelarian sedia ada sudah sesak,” katanya yang sebelum ini meninjau beberapa kem pelarian di Cox’s Bazar dari 31 Ogos hingga 4 September lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengecam kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya yang diadakan di ibu pejabat ABIM di Taman Cemerlang di sini, hari ini.
Turut Hadir Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz yang turut melancarkan buku monograf ‘Rohingya: Bantu atau Bantai’ yang bertujuan memberikan kefahaman mengenai isu Rohingya di Myanmar.
Majlis ringkas itu turut menyaksikan pelancaran Tabung Kemanusiaan Rohingya GPM yang menyasarkan kutipan RM100,000 bagi menjalankan misi kemanusiaan di Bangladesh tidak lama lagi.
Orang ramai boleh menyumbang melalui akaun Maybank Islamic: 5642-2161-1602 atau transaksi online di https://www.billplz.com/GPM-Rohingya.
Ahmad Fahmi sebelum ini mengetuai misi tinjauan awal bersempena program korban GPM di Bangladesh yang antara lain mengunjungi kem pelarian tidak rasmi di Balukhali, kem pelarian Rohingya di Kutupalong dan penempatan setinggan Rohingya di Patiya, Chittagong.
“Kita juga sempat ke Thenkali, kawasan baru pelarian dengan ribuan yang masuk ke Bangladesh untuk berlindung,” katanya menjelaskan GPM turut menyampaikan bantuan makanan beras, minyak masak, bawang, kentang dan kacang dal berjumlah RM25,000 dalam misi yang lalu.
Isu pembantaian Myanmar ke atas etnik Rohingya kembali mendapat perhatian dunia sejak 25 Ogos lalu apabila Kerajaan Myanmar melakukan operasi berdarah di wilayah utara Rakhine sehingga menyebabkan lebih 125,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dalam tempoh dua minggu.