Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia – ACCIN, bersedia menganjurkan siri Debat antara calon-calon Perdana Menteri. Calon dari tiga gabungan parti utama iaitu Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Kami mencadangkan supaya debat terbuka diadakan di antara calon-calon gabungan politik, khususnya di peringkat nasional untuk memberi peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto dan kelebihan masing-masing. Hanya dengan debat atau dialog terbuka, kebolehan, pengalaman dan ilmu seseorang calon boleh dinilai dengan baik. Rakyat tidak boleh di selewengkan dengan penipuan atau salah maklumat kerana ada naratif balas yang boleh menyerlahkan hakikat kebenaran.
Kami menyeru agar semua pihak menjunjung nilai-nilai sebuah demokrasi yang matang, supaya rakyat yang merupakan para pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU-15 kelak. Ini akan membolehkan rakyat membuat penilaian sebaiknya dan seterusnya membuat pilihan yang terbaik, serta para pemimpin terpaksa melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan dengan adanya kesaksian umum.
Dengan ini, calon dan parti perlu diberi ruang yang cukup dalam media kerajaan dan swasta untuk menyampaikan mesej dan manifesto masing-masing kepada pengundi.
Penganjuran debat terbuka itu bertujuan membuka peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto terbaik dan kelebihan masing-masing kepada masyarakat umum. Debat terbuka merupakan hak kepada parti dan calon bertanding untuk diberi peluang mengemukakan pandangan masing-masing.
Cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Deklarasi 8 perkara, Pemimpin agama dan NGO Pelbagai Penganut Agama baru-baru dalam deklarasi mereka adalah satu permintaan yang logik dan bukannya satu permintaan luar biasa.
Amalan debat sudah menjadi satu perkara lazim di semua negara maju yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Ia bukan satu permintaan yang merumitkan, sebaliknya satu prinsip asas dalam amalan demokrasi berparlimen.
Menerusi debat dan dialog terbuka, kita sebagai pengundi boleh nampak kebolehan dan ilmu seseorang, maka calon bertanding boleh dinilai dengan baik.
Malah ahli-ahli politik sudah biasa dengan debat ketika membahaskan rang undang-undang di Parlimen.
Debat terbuka diantara calon-calon PRU 15 adalah perkara tujuh dalam deklarasi pemimpin penganut pelbagai agama menjelang PRU15 yang diadakan pada 26hb Oktober lepas.
Sebanyak lapan deklarasi dicadangkan iaitu menyeru kepada pemimpin politik supaya menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, menuntut agar pemimpin politik memastikan konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dikekalkan dan diamalkan dengan setulusnya.
Selain itu, gabungan badan agama dan NGO itu turut menuntut agar berlaku pemisahan kuasa antara pendakwa raya negara dan peguam negara, menuntut semua institusi dan agensi semak imbang dan penguatkuasaan bebas, tegas dan berintegriti selain menyeru agar semua pihak menjunjung demokrasi yang matang serta memastikan pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU15.
Turut dicadangkan supaya debat terbuka diadakan segera di antara calon-calon parti politik dan mengingatkan semua parti supaya berhati-hati memilih calon yang bakal bertanding.
Hj Ir Mohd Jamaludin Shamsudin (MJ)
Pengerusi Deklarasi Pemimpin Agama dan NGO Pelbagai Agama Menjelang PRU15, merangkap CEO ACCIN.
29hb Oktober 2022