ACCIN menyeru agar semua pihak terutamanya parti yang utama supaya menjunjung nilai-nilai sebuah demokrasi yang matang. Rakyat sebagai pengundi perlu diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU-15 kelak. Ini akan membolehkan rakyat membuat penilaian terbaik dan seterusnya memilih pemimpin yang mampu menjanjikan manifesto yang jelas dan bermanfaat kepada rakyat.
Justeru semua calon dan parti perlu diberi ruang yang secukupnya dalam semua saluran media kerajaan dan swasta untuk menyampaikan mesej dan manifesto masing-masing kepada pengundi. Pertandingan juga biarlah positif dan konstruktif tanpa menggunakan helah atau penipuan.
Kami menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pilihan raya adalah telus dan adil bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia benar-benar dapat diterjemahkan melalui pilihan raya ini.
Kami mencadangkan supaya debat terbuka di media arus perdana di antara parti-parti politik digalakkan khususnya di peringkat nasional menjelang PRU15 untuk memberi peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto dan kelebihan masing-masing. Hanya dengan debat atau dialog terbuka, kebolehan dan ilmu seseorang calon boleh dinilai dengan baik. Rakyat tidak boleh diselewengkan dengan penipuan kerana ada naratif balas yang boleh menyerlahkan hakikat kebenaran.
Dengan adanya debat, isu-isu boleh dibawa ke khalayak umum untuk dibincang, diteliti dan dinilai oleh pengundi. Budaya calon membaca dari skrip, tidak diuji penggarapan ilmu dan pengalaman sesuatu tajuk bakal melahirkan pemimpin yang lembab dan tidak dinamis.
Budaya debat ini telah lama diamalkan dalam demokrasi yang matang seluruh dunia. Malah oleh negara yang baru melalui pembaharuan seperti Indonesia. Di negara-negara ini, debat pilihanraya terutamanya melibatkan pemimpin tertinggi parti adalah satu acara yang ditunggu-tunggu. Mengapa tidak di Malaysia?
Ir Mohd Jamaludin Shamsudin
CEO ACCIN
19hb Oktober 2022.