15hb Februari 2020 (Sabtu): Alhamdulillah, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM) bersama delegasi pimpinan serta aktivis ABIM telah memenuhi undangan ke Majlis Malam Anugerah Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN).
Berlangsung di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) turut hadir meraikan pimpinan dan aktivis Badan Masyarakat Madani (CSO) Islam dalam majlis anugerah tersebut.
Mengungkap pengalaman dan inspirasi Malcolm X, tokoh besar Islam dalam sejarah Amerika Syarikat, DSAI menekankan kepentingan badan masyarakat madani seperti ACCIN sebagai agen perubahan penting dalam menyampaikan risalah Islam yang universal merentas faham idelogi, kaum dan warna kulit.
DSAI yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut melancarkan logo baharu ACCIN, selain menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada bekas Pengerusi gabungan itu, Datuk Mustapha Ma.
Secara keseluruhan, ABIM telah menerima tiga buah anugerah iaitu: Kategori NGO Aktif; Kategori Program Terbaik – RTD Uighur; serta Kategori Modul Dakwah – Islamic Outreach ABIM (IOA).
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Ir. Haji Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dan Pesuruhjaya Tinggi Gambia ke Malaysia, Ramzia Diab Ghanim.
Bantu kami untuk berjuang dan terus berkembang dengan menyalurkan sumbangan seikhlas hati anda ke Akaun ABIM:
BANK ISLAM: 14023010032527
MAYBANK: 564221610116