Kementerian Perpaduan Negara terus memperkukuhkan usaha menyemai perpaduan menerusi pelbagai inisiatif dan program dialog antara komuniti.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang menekankan keutamaan interaksi dan dialog dalam membina masyarakat harmoni.
“Kepelbagaian, sebagai warisan sejarah dalam struktur masyarakat Malaysia wajar diraikan dan dipelihara demi memupuk perpaduan dan keharmonian.
“Walaupun kepelbagaian membawa cabaran dalam memperkukuh kesatuan namun apabila diurus dengan berkesan, ia mampu menjadi kekuatan negara dan membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu, kata Aaron ketika berucap pada Persidangan Keamanan Antara Agama Antarabangsa atau IIPC 2024, di ibu negara, hari ini.
Beliau turut mengetengahkan beberapa inisiatif utama kementerian, termasuk “Jejak Harmoni” yang menggalakkan interaksi antara penganut agama dengan melawat tempat ibadat masing-masing.
Menurut beliau, program seperti Minggu Harmoni Antara Agama Sedunia, Dokumentari Harmoni, dan Podcast Harmoni telah berjaya mendekatkan masyarakat pelbagai latar belakang.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa cabaran utama dalam mewujudkan dialog bermakna ialah polarisasi masyarakat akibat maklumat salah dan prasangka.
Justeru, pendekatan proaktif diperlukan untuk memastikan interaksi melangkaui sempadan digital ke hubungan dunia sebenar.