Kenyataan Akhbar
ACCIN Ucapkan Tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atasi kemelut Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Salah faham tentang pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi telah diselesaikan dengan baik dalam satu sesi dialog dengan 16 pertubuhan dan gabungan bukan kerajaan mewakili berbagai latar belakang Selasa lalu.
Cadangan dialog di mohon ACCIN – Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia dengan persetujuan pimpinan agama bukan Islam dengan pegawai tertinggi KPM untuk memberi pencerahan salah faham pengenalan Hadis 40 Imam Nawawi dalam kurikulum sekolah untuk pelajar Islam yang bertujuan memberi impak positif serta gambaran sebenar nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Ahli dialog amat terharu apabila YB Menteri Pendidikan sendiri, YB Fadhlina Sidek, meluangkan masa dari jadual yang padat untuk bersama pimpinan NGO dan badan agama dengan mengambil pendekatan libat urus dan mendengar, sambil memberi pencerahan kepada pihak berkenaan.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana muhibah, terbuka dan kesepakatan semua pihak terus membina Malaysia Madani berdasarkan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
KPM turut memaklumkan inisiatif ini hanya melibatkan guru dan murid beragama Islam, dan cuma dikembangkan ke sekolah-sekolah lain untuk kelas mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja. Sebelum ini pun sudah ada pembelajaran sebahagian hadis-hadis 40 Imam Nawawi, seorang cendekiawan Islam terulung di abad ketiga belas.
Kita doakan kebaikan dan keharmonian kepada sesama warga negara Malaysia. Adanya tanah air itu satu nikmat Allah kepada seorang insan. Bayangkan kalau kita tidak ada tanah air iaitu tiada paspot mana-mana negara atau negara hancur akibat persengketaan. Walau banyak mana pun harta dan besarnya keluarga, tidak akan bawa sebarang kebahagiaan. Jadi, sayangi lah negara kita. Menyayangi negara adalah penting dalam Islam dan semua agama utama.
ACCIN mengucapkan selamat hari kebangsaan kepada semua warganegara. Semoga negara terus maju dan makmur.
Selamat Hari Merdeka!
Ir Mohd Jamaludin Shamsudin
CEO ACCIN
31hb Ogos 2023