Perikatan Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) meneruskan program tahunannya dengan mensasarkan pembangunan modal insan penduduk Kampung Orang Asli yang lebih berkualiti.
Program anjuran bersama Pertubuhan Iqra’ Malaysia (PIM) tahun ini memilih Kampung Orang Asli Ulu Kuang, Rawang yang memiliki jumlah penduduk seramai 520 orang.
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad, 18 Jun 2023.
Ketua Pengarah Eksekutif ACCIN, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, antara sasaran utama penganjuran program yang dikendalikan ACCIN sejak 10 tahun lalu adalah untuk melahirkan modal insan Orang Asli yang mempunyai kualiti dari segi ilmu pengetahuan menerusi pemikiran nilai murni, jati diri yang tinggi dan kemahiran yang mampu menjana pendapatan.
“Masalah berhenti sekolah awal adalah cabaran utama anak-anak Orang Asli disebabkan pelbagai halangan dalam komuniti mereka. Golongan remaja mereka dilihat paling memerlukan dorongan dan motivasi dalam pembangunan modal insan ini.
“Sehubungan itu, perhatian dan bimbingan khusus wajar diberikan bukan saja dari segi pendidikan tetapi lebih penting disiplin diri dalam memastikan mereka meneruskan pendidikan hingga ke peringkat universiti.
“Manakala golongan dewasa terutama ibu bapa penduduk Orang Asli ini pula lebih memerlukan bantuan teknik keibubapaan dalam mendidik anak-anak bagi memastikan generasi mereka seterusnya mampu mencapai masa depan yang lebih terjamin.” katanya.
Mohd Jamaludin berkata, penganjuran program kali ini bersifat lebih menyeluruh berbanding sasaran program mereka sebelum ini yang hanya menumpukan golongan remaja Orang Asli.
“Buat julung kalinya tahun ini, kita membabitkan penyertaan menyeluruh penduduk di Kampung Orang Asli Ulu Kuang ini dengan menyediakan pelbagai program menarik mensasarkan golongan kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa.
“Ini selaras dengan objektif program ini yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran diri dan memberi motivasi tinggi kepada golongan Orang Asli dalam usaha memastikan mereka melakukan perubahan dalam kehidupan kepada keadaan yang lebih baik.
“Selain bertujuan memupuk sikap bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat, program yang diatur juga diharapkan mampu menanam sifat berdikari sekaligus meningkatkan tahap keyakinan diri golongan Orang Asli,” katanya.
Program pembangunan insan penduduk kampung Orang Asli dimulakan PIM dengan sokongan ACCIN sejak 2013 sehingga kini membabitkan lima perkampungan Orang Asli di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Antara perkampungan yang pernah terpilih adalah Perkampungan Orang Asli Desa Temuan, Bukit Lanjan; Kampung Orang Asli Ulu Batu; Kampung Orang Asli Bukit Lagong dan Kampung Orang Asli Bukit Bandaraya.