SECARA puratanya, perpaduan negara hanya berada pada tahap sederhana walaupun sudah diikhtiarkan sekian lama oleh pelbagai agensi termasuklah Kementerian Perpaduan yang ditubuhkan khas untuk mengurus hubungan etnik agar menjadi lebih baik lagi. Sehubungan ini, kelihatan ia semacam tidak boleh bertambah baik lagi, justeru penting sekali untuknya bertahan begini sahaja daripada merosot ke tahap lebih teruk.
Dalam pada ini, ada keperluan mendesak untuk diketengahkan teori perpaduan, iaitu gagasan yang terdiri daripada satu set prinsip sebagai satu sistem yang setiap satu bukan sahaja saling berkait tetapi bertindak sebagai satu keseluruhan.
Teori dikemukakan itu tidak semestinya satu sahaja, malah beberapa harus diutarakan untuk memberi penjelasan tuntas setelah kaedah saintifik digunakan bagi menyatakan fakta dan hipotesis tentang keadaan perpaduan negara.
Sehubungan ini, semua teori perlu diambil kira untuk tujuan lengkap-melengkapi. Ini kerana tumpuannya tidak sama, justeru mauduknya berbezaj beza. Satu daripada teori ini adalah keadaan perpaduan kita yang sederhana ini pertama-tamanya disebabkan kurangnya pergaulan antara etnik yang signifikan sifatnya, iaitu serius selain sakan pada agregat besar, misalnya Melayu-Cina untuk betul-betul kenal mengenali antara satu sama lain di serata tempat.
Dengan ini, ia akan membawa kepada yang seterusnya, iaitu faham memahami antara satu sama lain, antaranya aspirasi sesuatu etnik dari pelbagai sisi termasuklah agama. Setelah semua ini berlaku, ia akan mengurangkan perasaan curiga-mencurigai antara etnik yang perlu diakui wujud, malah dengan tebalnya.
Gejala kurang, malah tidak bergaul ini secara signifikannya disebabkan oleh sistem pendidikan kita yang menggalak dan membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia sangat muda. Dalam hal ini, kanakm kanak sudah pun diasingk asingkan semasa prasekolah lagi dengan ke tadika yang berdasarkan etnisiti masingb masing. Ia berterusan di peringkat sekolah rendah apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke pelbagai aliran persekolahan mengikut etnisiti masing-masing.
Usaha untuk mencantumkan kanak-kanak yang terpisah di peringkat sekolah rendah di peringkat sekolah menengah didapati tidak menjadi. Buktiknya, polarisasi etnik yang benihnya disemaikan sebelum ini tidak memungkinkan kanak-kanak ini bergaul untuk bersatu dengan mudah, apatah lagi mesra.
Ia berterusan di sekolah menengah, berlanjutan di institusi pendidikan tinggi dan dibawa ke tempat kerja. Inilah sebab utama perpaduan kita tidak utuh seperti sepatutnya berlaku setelah lebih enam dekad tertubuhnya negara tercinta ini.
Kita langsung tidak mahu mengendahkan petua mudah, iaitu kanak-kanak yang belajar bersama-sama semasa kecil akan terus bersama-sama apabila dewasa nanti. Malangnya, perkara ini langsung tidak berlaku pada agregat besar untuk negara mengecapi perpaduan yang sepatutnya.