Istilah ‘Negara MADANI’ yang digunakan oled Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sekarang ini tidak sama dengan konsep Islam Hadhari yang digunakan oleh Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi (TAAB). Tetapi ada sedikit sebanyak pertindihan antara dua gagasan itu.
Pertindihan itu mudah sahaja difahami memandangkan bahawa kedua-duanya merujuk kepada idea tamadun dan ketamadunan meskipun istilah tamadun tidak digunakan dalam gagasan Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh DSAI.
Hadhari Dan Madani
Ada perbezaan besar antara konsep Islam Hadhari TAAB dan Malaysia MADANI DSAI. Islam Hadhari TAAB mahu memperluaskan kefahaman orang Islam terhadap agamanya daripada melihatnya semata-mata sebagai ajaran tentang amal ibadat dan ritus dan hukum halal haram kepada melihatnya sebagai ajaran yang lebih luas yang meliputi isu-isu pembangunan tamadun.
Malaysia MADANI DSAI pula merupakan sebuah wawasan kenegaraan dan juga sebuah falsafah sosial yang menggariskan enam prinsip asas sebagai landasan pembangunan Malaysia yang lebih maju dan adil. Enam prinsip tersebut ialah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, saling menghormati, bersikap ihsan dan keyakinan antara satu sama lain.
Kita dapati bahawa perkataan MADANI di sini digunakan untuk menamakan himpunan ciri-ciri utama negara Malaysia di bawah Kerajaan Anwar Ibrahim. Namun demikian, ciri-ciri utama Malaysia MADANI adalah juga idea-idea teras dalam konsep dan falsafah madani dalam pemikiran Islam tradisional seperti yang dihuraikan oleh al-Farabi.
DSAI sedia maklum tentang konsep dan falsafah madani dalam sejarah pemikiran Islam. Di sini menariknya pemikiran beliau. Dengan menggunakan istilah Malaysia MADANI sebagai nama gagasan sosialnya beliau sekaligus berjaya menghubungkan idea madani dengan isu-isu utama yang dihadapi oleh Malaysia kontemporari dan dengan falsafah madani dalam pemikiran Islam klasik.
Konsep MADANI masyarakat awam
Saya yakin bahawa konsep MADANI yang dibawa oleh DSAI lambat laun akan difahami oleh masyarakat awam. Yang diperlukan ialah kefahaman tentang keenam-enam prinsip sosial yang terkandung dalam konsep tersebut. Prinsip-prinsip ini bukanlah idea baharu. Tetapi yang hendak ditegaskan sekarang ialah pemahamanya secara bersepadu di mana keenam-enam prinsip itu dilihat sebagai kait-mengait antara satu sama lain dan juga diamal dan dipraktikkan secara bersepadu. Perlu ada kempen berterusan untuk menerangkan gagasan Malaysia MADANI oleh semua kementerian.
Pada pendapat saya, sebagai sebuah wawasan negara dan sebuah falsafah sosial yang bersifat praktik Malaysia MADANI sudah cukup baik untuk dijadikan panduan bagi rakyat dan negara mencapai kemajuan seimbang. Bagaimana pun cabaran besar yang terpaksa dihadapi ialah cabaran pengisian dan penghayatan. Setiap satu daripada enam prinsip dan ciri MADANI perlu dihayati secara praktik. Pendidikan, baik formal dan bukan formal, merupakan strategi terbaik bagi menangani cabaran-cabaran yang dimaksudkan.
**** Penulis kini bertugas sebagai Profesor dan Penyandang Kursi Al-Ghazali dalam bidang Pemikiran Islam di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa-Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM).