SHAH ALAM – Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) memuji ketelusan dan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘melenyapkan’ kelulusan perolehan tanpa tender yang dilihat berpotensi besar penularan perbuatan rasuah dan amalan salah guna kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, keputusan tegas Perdana Menteri menghapuskan kontrak runding terus adalah satu-satunya tindakan impak tinggi yang dapat menurunkan kadar rasuah dengan berkesan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Deklarasi Pemimpin dan NGO Pelbagai Agama Penganut Agama sempena PRU-15 berkata, pelaksanaan langkah efektif yang mahu dilaksanakan itu berupaya menyelamatkan berbilion ringgit wang rakyat daripada disakau pihak tidak bertanggungjawab.
Malah dengan ketegasan kerajaan dalam isu tersebut katanya, penjimatan daripada isu ketirisan wang negara itu dapat digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan mensejahterakan perolehan negara.