Pemimpin pelbagai agama dan NGO agama telah mengemukakan 8 deklarasi yang diputuskan mereka kepada 13 ketua parti yang akan bertanding dalam PRU15 ini. Deklarasi pada 26hb Oktober itu telah disampaikan dalam bentuk surat pada 28hb Oktober 2022.
Kami menganggarkan mewakili sekurang-kurangnya 5 juta ahli dan penyokong yang juga bakal pengundi PRU 15.
Lapan deklarasi ini berkait dengan sistem urus tadbir dan tata kelola negara. Pemisahan kuasa dan keluhuran Perlembagaan. Institusi semak imbang dan kuat kuasa yang bebas dan berintegriti. Kelola PRU yang telus, tegas dan adil serta debat dan dialog terbuka supaya pengundi dapat menilai calon dan parti dengan baik.
Deklarasi menumpukan kepada bidang-bidang tersebut di atas kerana pada hemah kami, jika ia boleh dilakukan, 90 % dari masalah rasuah, salah guna kuasa dalam negara boleh ditangani. Begitu juga pemilihan calon boleh membawa kepada pilihan calon yang amanah, berintegriti dan kompeten.
DEKLARASI Pemimpin Agama
Deklarasi 1 – Keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan undang-undang.
Deklarasi 2 – Pengasingan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.
Deklarasi 3 – Pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya Negara dan Peguam Negara.
Deklarasi 4 – Institusi dan agensi semak imbang dan penguatkuasaan bebas, tegas dan berintegriti. Jawatankuasa khas Parlimen memilih. Runding Terus kontrak dihapuskan kecuali dalam beberapa keadaan.
Deklarasi 5 – Pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya oleh media arus perdana mahupun sosial.
Deklarasi 6 – Pilihan raya dijalankan dengan telus dan adil oleh SPR. Penggunaan taktik mengapi-apikan semangat perkauman dan agama perlu dibendung dengan tegas.
Deklarasi 7 – Debat terbuka . Rakyat tidak boleh diselewengkan dengan pembohongan kerana ada naratif balas yang boleh menyerlahkan hakikat kebenaran.
Deklarasi 8 – Calon-calon yang berintegriti dan kompeten.
MAKLUM BALAS
Surat telah diutuskan kepada 13 pemimpin parti yang bertanding dalam PRU 15 pada 28hb Oktober dan diberi 10 hari untuk membalas.
1. Parti GTA yang pertama menjawab, oleh Pengerusinya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2hb November. Beliau menegaskan sokongan penuh kepada semua 8 Deklarasi.
2. Parti PKR/PH juga memberi persetujuan terima pakai kesemua 8 deklarasi yang disyorkan dalam satu perjumpaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
3. Tidak ada sebarang maklumbalas oleh 11 parti yang lain.
PENILAIAN MANIFESTO PH, PN, BN dan GTA
Satu penilaian ringkas dibuat sama ada 8 perkara Deklarasi Pemimpin Agama dan NGO Agama ada tersurat atau tersirat dalam manifesto gabungan masing-masing.
Anggapan kami ialah, lebih banyak perkara dalam deklarasi diterima, parti tersebut lebih cenderong untuk membuat perubahan (reform) dan menerima hakikat bahawa situasi sosio ekonomi dan politik berada di tahap kritikal.
1. Hanya PH yang menyarankan untuk diadakan debat terbuka di kalangan pemimpin gabungan utama. Cadangan ini ditolak bulat-bulat oleh BN sebagai “asing kepada budaya kita”.
Kami berpendapat debat dan dialog terbuka akan memberi penilaian yang baik calon-calon yang bertanding untuk pengundi memilih yang terbaik. Budaya ini adalah suatu kebiasaan dalam sistem demokrasi yang matang.
2. Satu perkembangan yang baik adalah penerimaan semua gabungan untuk menggubal “Akta Pendanaan Politik”. Seperti yang dimaklum semua, keperluan dana politik menjadi alasan dan justifikasi orang politik yang berkuasa untuk terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Dengan adanya Akta ini, peralihan dana politik dapat dipantau dan dikawal sekaligus membendung gejala rasuah.
3. Perkembangan baik seterusnya ialah persetujuan pembaharuan proses pelantikan jawatan-jawatan Utama seperti Ketua Polis Negara, Ketua SPRM dan AG oleh Jawatan kuasa khas bipartisan Parlimen dipersetujui oleh semua gabungan kecuali PN.
Proses ini amat penting untuk memastikan institusi semak imbang dan kuat kuasa bebas dari pengaruh politik untuk kepentingan mereka. Kejadian SPRM menyerbu pejabat pemimpin parti politik pembangkang beberapa hari sebelum PRU 15 tidak membantu menaikkan imej institusi ini.
4. Polarisasi kaum semakin ketara dalam kempen PRU kali ini kerana tiada usaha padu oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini membina semula agenda perpaduan nasional yang kian rapuh. Malah ada di antara parti politik sengaja menjadikan isu polarisasi kaum dan agama sebagai produk politik mereka.
ACCIN sebelum ini telah mencadangkan dibentuk “Suruhanjaya Ungkapan Kebencian – Hate Speech Commission” untuk memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
KESIMPULAN
1. Manifesto Perikatan Nasional yang selari dengan deklarasi kita hanya satu iaitu perkara 4.
2. Manifesto Barisan Nasional yang selari dgn deklarasi kita ialah perkara 2, 3 dan 4.
3. Manifesto Gabungan Tanah Air pula, walaupun menyokong penuh kesemua lapan Deklarasi kami, yang selari dalam manifesto mereka hanya perkara 4.
4. Manifesto Pakatan Harapan adalah selari dengan kesemua lapan Deklarasi kami yang menunjukkan komitmen mereka kepada pembaharuan atau reform tata kelola negara seperti yang disyorkan.
5. Sesuai dengan deklarasi kita yang ke-8, hanya calon-calon PH sahaja yg membuat pengisytiharan harta. Konklusinya untuk penilaian pengundi.
6. Tuntutan deklarasi yang ke-5 juga tidak dipenuhi. Semua stesen radio dan tv utama negara dilihat melaporkan berita serta maklumat yang tidak seimbang antara parti-parti yang bertanding.
Namun, kami akur, terdapat cukup ruang untuk semua parti politik berkempen dan tidak ada laporan sekatan polis yang tidak munasabah.
7. Deklarasi yang ke-6 iaitu pilihan raya dijalankan dengan telus, bersih dan adil. Namun terdapat desas desus bahawa undian awal yang sepatutnya pada 15 November telah berlaku lebih awal daripada tarikh tersebut .
Kami menyeru supaya semua pengundi beramai-ramai mengundi untuk menyumbang memilih pemimpin kita yang terbaik ke arah negara yang lebih maju, berintegriti dan makmur. Sekian.
Ir Mohd Jamaludin Shamsudin
Pengerusi
Deklarasi Pemimpin Agama dan NGO Agama sempena PRU15.
17hb November 2022