Dalam kehangatan PRU 15 banyak pendedahan di buat tentang skandal pemberian kontrak berbillion secara runding terus walaupun Parlimen telah di bubarkan.
Diantaranya skandal LCS, meriam Howitzer, kapal terbang pejuang Korea, Projek Tambatan Banjir Kuala Langat 2 dan berbagai lagi yang mungkin belum diketahui.
Dengan adanya salah guna kuasa untuk mengarahkan kontrak di runding terus oleh seorang itu, dengan nilai yang lebih besar jika orang tersebut lebih berkuasa, maka terbuka luas peluang untuk rasuah dan salah guna kuasa.
Sebelum pertengahan lapan puluhan, kontrak runding terus tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan tertentu sahaja seperti pembelian kecemasan atau ada satu pembekal sahaja. Setiap kontrak perlu melalui tender terbuka yang telus. Pengecualian mungkin sekitar lima peratus dari jumlah perolehan.
Perolehan dikawal oleh Pekeliling Perbendaharaan dan Pekeliling Am. Namun pada tahun lapan puluhan, penyalahgunaan kontrak runding terus menjadi amalan biasa hasil pemusatan kuasa ditangan orang politik. Arahan runding terus bagi kontrak-kontrak kerajaan bagaikan cendawan selepas hujan dengan berbagai alasan tidak munasabah yang digunakan.
Dianggarkan oleh Transparency International, berlaku sekitar 4 hingga 6% dari KDNK, ketirisan dalam perolehan negara iaitu bersamaan dengan RM 60 billion. Sebahagian besar melalui proses runding terus. Hasilnya, harga perolehan terlalu tinggi kerana tidak ada tender terbuka dan kualiti yang kurang baik untuk memperolehi keuntungan lebih.
Semua ini boleh berlaku sebab proses semak imbang telah dikompromi.
Dengan hilangnya RM 60 billion setiap tahun kepada rasuah dan salah guna kuasa, mengakibatkan pembangunan yang tidak lestari, rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan yang tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara yang ketara.
Amalan ini sudah berakar sehingga ini tanpa ada usaha yang berterusan untuk memeranginya. Kanser rasuah kemudian merebak hingga ke akar umbi sistem perolehan negara termasuk sektor penjawat awam dan swasta.
Begitulah kes LCS dan pembelian meriam howitzer untuk Angkatan Tentera Malaysia . Pembelian meriam ini berjumlah RM 850 juta diarahkan pemimpin politik tertinggi untuk runding terus walaupun tidak menepati ciri-cirinya, dengan sebuah syarikat berusia 2 tahun dan belum membuat sebarang bekalan kepada ATM.
Dengan menenyeh 6 perkataan sahaja di atas surat cadangan – “Saya setuju di runding terus. Uruskan segera”, rakyat dan negara kerugian berpuluh atau mungkin beratus juta hasil pembelian satu kontrak ini sahaja. Bayangkan jumlah ketirisan dan kerugian setiap tahun melibatkan kontrak kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bernilai ratusan biliun.
Tidak mungkin perolehan runding terus boleh menghasilkan harga yang lebih murah atau kualiti yang lebih baik berbanding hasil perolehan tender terbuka. Ini kerana keputusan dibuat tanpa jawatan kuasa tender yang telus.
Satu daripada contoh yang ketara ialah perolehan aset tentera diraja Malaysia. Pembayaran RM 6 billion dibuat tetapi tidak ada satu kapal pun dalam kes LCS. Harga pula dijangka naik ke RM 11 billion. Harga asal yang dirunding terus ini pun menjemput kontroversi kerana terlalu mahal berbanding harga kapal yang sama diperoleh tentera laut New Zealand.
Begitu juga skandal kapal selam, helikopter dan jet pejuang Sukhoi.
Dalam laporan Defence Security Asia, Panglima Tentera Laut Malaysia mendedahkan kira-kira 61% daripada aset yang dioperasi TLDM di kategorikan “usang”. Bagaimana boleh berlaku ( dan pastinya dalam cabang-cabang ATM yang lain) sehingga aset yang telah disarakan terpaksa kembali ke medan aktif.
Menghapuskan kontrak runding terus adalah satu-satunya tindakan impak tinggi yang dapat menurunkan kadar rasuah dengan mendadak. Negara dapat menyelamatkan berbillion ringgit yang boleh digunakan untuk membantu sosio ekonomi rakyat dan meningkatkan perkhidmatan oleh kerajaan.
Ir Mohd Jamaludin Shamsudin
ACCIN
15hb November 2022