(Understanding other Faiths)
Tempat : Auditorium Perpustakaan UNITEN Putrajaya, Jalan Ikram-Uniten, 43000 Kajang, Selangor
Tarikh : Sabtu, 15hb Oktober 2022
Masa: 8.00 pagi – 5.00 petang
Borang pendaftaran: http://bit.do/fVi7W
Anjuran ACCIN
*Kerjasama Hidayah Centre Foundation, WADAH, PIM, JAIS, Pejabat Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Kerajaan Negeri Selangor, TIJARI
Persidangan Kebangsaan 2022: Memahami Kepercayaan Lain – Ke Arah Masyarakat Harmoni yang telah dianjurkan oleh Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN) telah dilaksanakan dengan jayanya pada 15 Oktober 2022 di Auditorium Perpustakaan UNITEN, Bangi.
Persidangan sehari dirasmikan oleh Exco Agama, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, HJ Zawawi Mughni. Beliau memuji usaha memahami kepercayaan lain dan ancaman ideologi-ideologi pemikiran Barat seperti Atheisme, Liberalisme , pluralisme agama dan LGBTQI.
Pengerusi Persidangan Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin dalam ucapan aluan menekankan perlunya memahami kepercayaan-kepercayaan lain ke arah menerangkan Islam dengan penuh berhemah. Usaha ini boleh membawa kepada persefahaman dan keharmonian di antara kaum. Menurut beliau, penularan ideologi sonsang dari barat boleh membawa bahaya yang besar kepada masyarakat kita di Malaysia.
Ancaman ini tidak jauh. Baru-baru ini, Disney yang banyak mengeluarkan filem dan rancangan media untuk kanak-kanak sekian lama, membuat pengumuman dasar dimana 50% konten Disney akan dibuka kepada elemen-elemen LGBTQI.
Persidangan kali ini memberikan pendedahan kepada para aktivis dakwah tentang agama-agama / kepercayaan-kepercayaan yang bukan aliran utama (mainstream) di Malaysia iaitu Sikh, Ahmadiyya, Baha’i dan Animisme (di kalangan orang Asli) dan perkara-perkara yang perlu diambil kira dalam menyantuni dan menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Ketiga-tiga kepercayaan Sikh, Ahmadiyya, Baha’i juga mempunyai persamaan dari segi kaitan asal usul mereka dengan Islam.
Ancaman ideologi-ideologi pemikiran kontemporari seperti Atheisme, Pluralisme, Liberalisme, Deisme dan LGBTQI juga telah dibincang dalam bentuk forum. Penularan fahaman-fahaman songsang ini di peringkat dunia, kesan dan statistik penularannya di Malaysia serta langkah-langkah yang perlu diambil telah dikupas oleh para panelis.
Dalam sesi forum terakhir Persidangan ini, para panelis telah merungkai isu-isu yang menghalang orang bukan Islam di Malaysia daripada mempertimbangkan Islam sebagai pegangan mereka. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh muallaf dan aktivis dakwah serta penyelesaiannya dari pelbagai sudut telah dibincangkan.
Diskusi berkumpulan turut diadakan untuk melibatkan para peserta dalam membincangkan isu-isu yang dibentangkan secara lebih terperinci serta menghasilkan pelan tindakan yang sewajarnya. Antara resolusi yang dicapai adalah keperluan untuk menjadikan setiap masjid sebagai pusat dakwah melalui biro dakwah khusus, kepentingan membuat kajian lanjut tentang penularan ideologi-ideologi songsang di Malaysia serta mempertingkatkan peranan institusi-institusi pendidikan untuk menangani pengaruh ideologi-ideologi tersebut serta melahirkan aktivis dakwah yang berkesan.