Berita kembalinya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ke pangkuan Ilahi, sesungguhnya amat menyayat hati kita semua. Kami mendoakan beliau dicucuri rahmat dan rasa simpati kami atas kehilangan Muhammad Adib kepada keluarga beliau. Beliau gagah tetapi gugur ketika menjalankan tugas demi negara.
Disebalik kesedihan ini, telah wujud rasa tidak puas hati dan kegusaran di kalangan masyarakat kita terhadap kumpulan perusuh semasa insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariappan USJ25 pada 26 dan 27 November yang lalu.
Meskipun negara kita Malaysia mempunyai undang-undang dan kita perlu yakin dan menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam, namun keresahan masyarakat perlulah juga diberikan layanan yang waras dan wajar.
Justeru selain daripada berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan bersama para solihin kita menyeru agar kerajaan dan semua pemegang taruh dapat menawarkan jalan penyelesaian yang realistik agar rakyat Malaysia dapat meneruskan kehidupan dalam suasana aman dan harmoni. Penampilan satu kertas putih mengenai kes ini amatlah dialu-alukan.
Kita juga merakamkan rasa tidak senang masyarakat terhadap reaksi sesetengan pemimpin politik yang melatah mengenai isu ini sebelum semua fakta dapat dihimpunkan. Reaksi terburu seperti ini tidak membantu usaha menjernihkan keadaan.
Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin
Pengerusi ACCIN
18 Disember 2018