Pembentukan dan perlantikan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong sangat dialu-alukan sebagai menyahut seruan rakyat dan masyarakat madani ke arah penambah baikan institusi Islam di peringkat Persekutuan.
Jika sebelum ini pentadbiran institusi Islam di peringkat negeri adalah di bawah kuasa negeri, sudah pastinya saranan dan cadangan penambah baikan di peringkat Persekutuan nanti boleh dipertimbangkan ke peringkat negeri sekali gus diharap mampu meningkatkan wibawa dan keberkesanan seluruh institusi Islam di negara ini.
Malah, seperti disuarakan Pengerusi jawatankuasa itu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bahawa 102 institusi akan dipanggil untuk memberi maklum balas ke arah penambah baikan itu disifatkan sebagai suatu langkah yang tepat.
Ini kerana pemilihan institusi membabitkan lima kluster yang menjadi tumpuan termasuk agensi berkaitan Islam, kewangan dan ekonomi, pendidikan, syariah dan perundangan, pertubuhan politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat cukup tepat dalam memenuhi keperluan masa kini.
Tadbir lebih tersusun
Jika diamati, peranan institusi Islam dianggap masih relevan dalam tugas mentadbir hal ehwal Islam secara lebih tersusun dibantu institusi dengan tugas yang sama di setiap negeri.
Misalnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memainkan peranan penting dalam pendidikan dan pemahaman Islam bukan saja dalam kalangan umat Islam khususnya tetapi juga bukan Islam amnya.
JAKIM juga memastikan keharmonian dalam kalangan umat Islam dengan memantau elemen dan fahaman yang boleh membawa kepada keresahan dan ketidakstabilan negara.
Sungguh pun begitu, bagi kumpulan NGO termasuklah Perikatan Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Islam, Malaysia (ACCIN) sendiri amat mengharapkan kewujudan jawatankuasa ini nanti turut mengambil kira suara dan pandangan kami yang terbabit secara langsung dalam memartabatkan institusi Islam di negara ini.
Kehadiran NGO Islam di negara ini tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pemain sampingan semata-mata tetapi mereka sebenarnya perlu dianggap sebagai rakan kongsi kepada institusi Islam terutama dalam memelihara agama, bangsa dan negara.
Keberkesanan mereka menyampaikan Islam sebagai “rahmatan lil alamiin” (rahmat ke seluruh alam) melihatkan komitmen yang diberikan dalam mempertahankan nilai hidup murni dan kepentingan Islam serta umat sejagat.
Sayang sekali mereka yang menggerakkan kumpulan NGO terbabit terpaksa berjuang dan berusaha dengan sumber cukup terhad memandangkan ramai melakukan kerja secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.
Bebas pengaruh politik
Institusi Islam bukan saja perlu dikecualikan daripada pengaruh politik tetapi juga mana-mana pengaruh lain yang akan menghalangnya untuk berfungsi secara bebas dan berkesan.
Tidak ramai yang menyedari dana hasil kutipan zakat yang dimiliki kebanyakan institusi Islam sebenarnya menjadi daya tarikan bagi sebilangan mereka yang berpengaruh sehingga ada kalanya disalahgunakan untuk tujuan politik. Malangnya kebanyakan pegawai agama tidak berani untuk bersuara bagi menghalang atau menegah penyalahgunaan itu apabila ada pihak lain yang lebih besar pengaruhnya memegang institusi berkenaan.
Bagi memastikan keberkesanan institusi ini, strukturnya juga perlu diubahsuai supaya menjadi lebih berkesan dengan penggunaan teknologi maklumat dan multimedia terkini. Segala proses kerja dalam jabatan membabitkan institusi ini perlu dilakarkan dan dipermudahkan (reengineer) mengikut misi serta strategi yang lebih fokus disokong dengan perisian komputer lebih canggih.
Dengan sendirinya, keperluan tenaga kerja dapat dikurangkan secara mendadak sekali gus mengurangkan kos pentadbiran. Banyak dana dapat digunakan bagi program yang lebih penting selain membantu kumpulan NGO Islam diperkasakan melalui peruntukan sumber kewangan lebih besar.
Selari dengan peredaran semasa, institusi Islam juga dilihat perlu memiliki pegawai dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang termasuk dalam bidang pentadbiran, komunikasi korporat, kewangan, pengurusan hinggalah perundangan. Jika tidak, akan berlaku banyak kelompongan dalam cara kerja dan bertindak.
Manfaatkan pengalaman aktivis
Bayangkan apabila tanggungjawab diberikan kepada yang bukan ahlinya, maka akan timbullah keputusan pelik yang bukan saja membawa kepada pelbagai masalah tetapi mengakibatkan prestasi merudum, krisis dan ketidakbijaksanaan dalam membuat keputusan.
Institusi Islam tidak seharusnya melihat diri mereka sebagai eksklusif dan tidak boleh dikritik atau menerima sebarang teguran terutama dalam soal pengurusan dan pentadbiran. Agamawan juga perlu sedar dalam hal tertentu mereka perlu merujuk kepada pihak yang lebih pakar atau berpengetahuan dalam bidang berkenaan.
Sehubungan itu, adalah penting jawatankuasa yang dilantik ini menerima setiap pandangan terutama daripada sumber yang berada di lapangan seperti kumpulan NGO yang memiliki ramai aktivis berlatar belakangkan pelbagai bidang yang bukan saja bermotivasi tinggi tetapi bersedia menghulurkan buah fikiran mereka tanpa mengharapkan ganjaran.
Pengalaman luas yang dimiliki mereka dalam pelbagai bidang perlu dimanfaatkan sebaik demi masa depan institusi Islam dan juga negara yang dicintai.
Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin
Pengerusi ACCIN