KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menarik balik pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164, selepas ia ditangguhkan April lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan demikian ketika Dewan Rakyat mula bersidang pagi tadi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata akta itu perlu dikaji balik bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga akan diteliti pakar agama, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu.
Akta itu dikritik beberapa pihak, termasuk PAS dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, yang mendakwa ia bertentangan dengan perlembagaan dan hukum syarak.
Pindaan itu bertujuan menyelesaikan masalah status agama dan rebutan anak bawah umur dalam kes penceraian melibatkan bukan Islam dan pasangannya yang masuk Islam.
Antara pindaan yang dicadangkan ialah mengekalkan agama anak walaupun salah seorang ibu bapa masuk Islam, melainkan ia mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.
Bekas ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.
“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan… Akta 164. Umno bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Akta ini diluluskan,” katanya.
Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata akta tersebut perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.
Sumber: Free Malaysia Today